Wednesday, March 10, 2010

solat istikharah


Solat Istikhoroh dilakukan seperti solat sunnah yang lain iaitu sebanyak dua rakaat, sama ada siang atau malam hari (selama sedang memerlukan petunjuk), dalam setiap rakaatnya membaca al-Fatihah dan surah apa saja yang sudah dihafal, lalu mengangkat tangan sambil berdoa dengan doa istikhoroh yang diajarkan oleh Nabi seperti yang telah disebutkan/dibentangkan di atas (dalam hadis Bukhori dari jalan Jabir Bin Abdulloh). (Asal perkataan ini oleh Ibnu Baz dalam Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawwi’ah, 11/421)

Adakah Dalam Solat Istikhoroh Ada Bacaan Khusus/Tertentu?

Imam Nawawi mengatakan: “Disunnahkan pada raka’at pertama setelah al-Fatihah membaca surat al-Kafirun dan raka’at ke dua setelah al-Fatihah membaca surat al-Ikhlash” (al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab 2/377), hal ini didasari oleh maksud orang yang beristikhoroh supaya mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah, sehingga yang patut dibaca adalah dua surat tersebut.

Sedangkan al-Hafiz al-’Iraqi mengatakan (Perkataan ini dinukil dari Tuhfatul Ahwadzi 2/484): “Aku tidak menjumpai satu hadis pun tentang penentuan bacaan surah-surah khusus dalam solat Istikhoroh.”

Dan keterangan di atas jelaslah bahwasanya pendapat yang lebih kuat adalah tidak adanya ketentuan surah-surah yang dibaca ketika solat Istikhoroh, lantaran tidak ada keterangan dari Rasulullah akan hal itu, dan mereka yang mensunnahkan surah-surah tertentu tidak mendatangkan dalil al-Qur’an dan Sunnah, sehingga kita katakan disunnahkan setelah membaca al-Fatihah di masing-masing raka’at untuk membaca surah apa saja dari al-Qur’an yang telah dihafal.

Berkata Ibnu Bazz (Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawzvi’ah 11/421): “Hendaknya (orang yang solat Istikhoroh) membaca al-Fatihah di setiap raka’at dan membaca surah apa saja yang mudah.”

Bilakah Doa Istikhoroh Dibacakan?

Doa Istikhoroh boleh dibaca samaada sebelum salam atau selepas salam selepas solat dua roka’at. (Sebagaimana fatwa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawanya 12/105)

a. Sebelum salam

Adapun dibolehkan membaca do’a istikhoroh sebelum salam ini berdasarkan:

1. Kebanyakan doa Nabi dalam sholat dilakukan sebelum salam (setelah tasyahud akhir), seperti yang dijelaskan oleh Abu Hurairoh, beliau berkata: “Nabi bersabda: Apabila kalian selesai dari tasyahud yang terakhir, hendaklah berdo’a meminta perlindungan kepada Allah dari empat perkara, iaitu mengucapkan (maksudnya);

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dan azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari fitnah al-Masih ad-Dajjal. (Hadis Riwayat Bukhari 1377, dan Muslim 588)

2. Demikian juga Rasulullah mengajari Abu Bakar tatkala beliau minta diajarkan do’a yang boleh dibaca dalam solatnya, lalu Nabi memerintahkan beliau untuk membaca (maksudnya);

Ya Allah sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah aku dengan ampunan dari-Mu, dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Hadis Riwayat Bukhari 834 dan Muslim 3/7/27)

3. Dalam Hadis Jabir bin Abdullah, Rasulullah tidak menentukan tempat dibacanya doa istikharah apakah harus dibaca sebelum salam atau setelah salam.

b. Sesudah salam

Sedangkan dibolehkan doa Istikhoroh dibaca sesudah salam berdasarkan zahir hadis yang menunjukkan doa tersebut dibaca sesudah salam, sebagaimana Nabi bersabda (yang ertinya): “Apabila di antara kalian berkeinginan/bermaksud terhadap suatu perkara, hendaklah solat sunnah dua rakaat bukan termasuk wajib, kemudian berdo’a...”

Berkata Ibnu Baz: “Sholat Istikhoroh hukumnya sunnah, dan do’a istikhoroh tempatnya setelah salam sebagaimana (zahir) hadis yang telah datang dari Rasulullah” (Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawwi’ah 11/421422). (Demikian juga difatwakan oleh Lajnah Da’imah dalam Fatwa no. 10666)

Apa Yang Dilakukan Setelah Solat Istikhoroh Dan Bermusyawarah?

Imam Nawawi r.h. berkata (Perkataan Imam Nawawi (dinukil secara bebas) ini dinukil oleh Imam Syaukani dalam Nailul Author 2/298): “Setelah seseorang melakukan solat Istikhoroh, sebaiknya dia menjalani apa yang dia rasakan lapang dadanya terhadap perkara tersebut baik meneruskan maksudnya atau meninggalkannya.”

Kemudian beliau melanjutkan perkataannya:

“Bagi orang yang hendak beristikhoroh hendaklah ia menghilangkan kecondongan hatinya terhadap suatu perkara sebelum melakukan solat dan doa Istikhoroh, dan tidak selayaknya bersandar kepada adanya kecondongan hati sebelum istikhoroh, kerana apabila ada kecondongan hati sebelum istikhoroh, lalu dia melakukan istikhoroh, bererti dia tidak beristikhoroh, kerana istikhoroh dilakukan ketika bimbang dan meminta dipilihkan yang terbaik dari Allah untuknya.”

Boleh Mengulang Solat Istikhoroh Dalam Satu Perkara

Ibnu Utsaimin berkata (Dinukil secara bebas dari Syarh Riyadhus Sholihin oleh Ibnu Utsaimin 2/515): “Setelah melakukan solat dan do’a istikhoroh, apabila merasa lapang dadanya terhadap suatu perkara baik meneruskan atau meninggalkan, maka inilah yang diharapkan, tetapi apabila tetap bimbang dan tidak merasa lapang dadanya, maka dia boleh mengulangi solat dan doa Istikhorohnya ke dua kali, ke tiga kalinya, dan seterusnya, hal ini lantaran orang yang beristikhoroh adalah orang yang meminta petunjuk kepada Allah akan kebaikan yang akan dia lakukan sehingga apabila tidak jelas baginya kebaikannya atau tetap ragu maka dia boleh beristikhoroh berulang kali.”

Adakah Tanda-Tanda Dikabulkannya Permintaan?

Sebahagian orang berkata: “Setelah melakukan solat dan doa Istikhoroh, maka akan datang petunjuk dalam mimpinya, maka diambil pilihan sebagaimana mimpinya,” oleh kerana itu ada sebagian orang berwudhu’, lalu melakukan solat dan doa istikhoroh, kemudian terus tidur (mengharap petunjuk datang melalui mimpi), bahkan sebahagian mereka menyengaja memakai pakaian berwarna putih (supaya bermimpi baik), semua ini hanyalah prasangka manusia (yang tidak ada dasarnya). (Lihat Bahjah an-Nadzirin Syarh Riyadhus Sholihin oleh Syaikh Salim bin led al-Hilali 2/44)

Kesimpulan

1. Rasa bimbang, ragu, dan ketidak-tahuan baik dan buruknya suatu perkara adalah hal yang wajar, kerana semua itu termasuk tabiat dan keterbatasan manusia.

2. Solat Istikhoroh adalab solat yang dilakukan untuk minta petunjuk kepada Allah kebaikan perkara yang sedang dihadapi.

3. Para ulama bersepakat (ijma’) bahawa solat Istikhoroh hukumnya sunnah.

4. Solat Istikhoroh disunnahkan bagi segenap perkara baik besar atau kecil, selama seseorang bimbang atau ragu ataupun tidak mengetahui maslahatnya di masa akan datang/terkemudian.

5. Apabila sudah terdapat kecondongan hati atau mengetahui tentang baiknya perkara (dari awal lagi), maka tidak disunnahkan beristikhoroh, ini kerana solat Istikhoroh itu dilakukan adalah bagi tujuan meminta petunjuk, dan Allah memerintahkan hambanya yang telah melaksanakannya supya bertawakal kepada Allah.

6. Istikhoroh disunnahkan dalam perkara-perkara yang asalnya mubah, adapun perkara wajib dan sunnah, maka tidak disunnahkan istikhoroh, ini kerana kebaikannya sudah jelas adanya, sebagaimana perkara haram dan makruh tidak disunnahkan istikhoroh kerana keburukannya sudah jelas adanya.

7. Tidak terdapat dalil yang sah tentang pengkhususan bacaan surah-surah al-Qur’an dalam solat Istikhoroh.

8. Doa Istikhoroh boleh dibaca dalam solat (sebelum salam) atau di luar solat (sesudah salam)

9. Dibolehkan mengulangi solat Istikhoroh dalam satu perkara apabila diperlukan.

10. Ketenangan hati dan kelapangan dada kepada suatu perkara setelah melakukan solat istikhoroh adalah tanda petunjuk dari Allah, dan tidak terdapat dalil yang sah tentang keharusan melihat mimpi setelah beristikhoroh.

Demikianlah yang dapat dibentangkan dari beberapa penjelasan/keterangan para ulama tentang solat Istikhoroh, mudah-mudahan kita mendapat petunjuk dari Allah sehingga kita dapat melangkah sesuai dengan apa yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya dan mendapatkan yang terbaik dan sisi-Nya dengan jalan taat dan istiqomah di atas landasan-Nya, amin.

KEPASTIAN





Ujian Tuhan Kepada Semua Insan
Adalah Kehidupan Ini
Yang Baik Menjadi Tuntutan
Yang Buruk Dijauhkan

Syurga Yang Dijanjikan
Bukanlah Suatu Khayalan
Tentang Nikmat Berpanjangan Ilahi

Neraka Yang Tercipta
Menghimpun Azab Derita
Tangisan Kesengsaraan Insan

Syurga Adalah Kelazatan
Terbentang Buat Hamba Beriman
Yang Kasihkan Tuhannya
Yang Kasihkan Rasulnya
Yang Kasih Agamanya

Neraka Tempat Kemurkaan
Antara Kedurjanaan Insan
Yang Lupakan Tuhannya
Yang Lupakan Rasulnya
Yang Lupa Agamanya

Siapakah Yang Lebih Mulia
Dari Mereka Yang Tidak Lupa
Janji Allah Adalah Kepastian
dan Nikmat Syurga Adalah Indah

Saturday, March 6, 2010

fikrkanlah


"terkadang kita gembira bahagia dan ketawa melakukan sesuatu perkara, tapi kita tak tahu berapa banyak dosa yang datang kepada kita pada waktu itu, dan berapa ramai syaitan dan iblis menemani kita...terkadang kita berduka, sengsara, siksa dan sehingga menitis airmata dan merasakan tiada seorang pun disisi kita, namun kita tak tahu hakikatnya pahala yang datang pada kita waktu itu dan berapa banyak malaikat menemani disisi kita. Hakikat bahagia itu sukar diertikan, ada manusia telah bersama, namun tiada bahagia, ada manusia itu tidak bersama, numun tiada sebenarnya itulah kebahagiaannya yang manusia itu tidak tahu, Allah sengaja memisahkan kerana hakikat perpisahan itulah yang akan membawa kepada kebahagian yang abadi, sepertimana Allah memisahkan nyawa dari tubuh hambaNya adalah kerana Allah inginkan bahagia disampingNya...sesungguhnya besarnya dugaan maka disitu besarlah pahalanya"

Thursday, March 4, 2010

kasih sayang

KASIH SAYANG DAN HIKMAHNYA

Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas (dalam peraturan dan undang-undang yang diperlukan) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan. Lantaran itu, marilah kita MEMAHAMI SIFAT KASIH SAYANG DAN HIKMAHNYA amat diperlukan untuk difahami dan dihadhami (dicernakan) oleh setiap warga bumi terutama mereka yang mengungkap persaksian “Asyhadu anlaa ilaaha illallaah, wa asyhadu annamuhammadar rasuulullaah."

SIFAT-SIFAT UTAMA YANG DIPERLUKAN

Setiap kelahiran manusia dibekali oleh Allah s.w.t perasaan yang pelbagai. Perasaan itu perlu dipupuk, diasuh dan dilazimi untuk menjadi akhlak atau perangai yang membolehkan seseorang itu dikatakan bersifat dengan sifat-sifat tertentu. Antara sifat-sifat utama yang perlu dipupuk dan disuburkan ialah :
- Cinta atau al-Hubb :
Cinta dan kasih sayang akan tumbuh dalam diri hasil kepercayaan yang lahir melalui pancaindera yang lima ( penglihatan mata, pendengara telinga, pembauan hidung, pengecapan lidah dan penyentuhan tangan. Dan dikatakan bahawa indera yang paling utama ialah indera keenam iaitu pengakalan otak.) dan melalui ilmu tentang kebaikan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Berlawanan dengan cinta dan kasih sayang ialah benci dan cuak yang merupakan perasaan tidak menerima terhadap sesuatu justeru tanggapan dan kepercayaan keburukan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Mengenali dengan tepat akan sesuatu itu boleh menumbuhkan cinta yang sebenar atau benci yang sebenar. Manakala mengenali dengan silap (Mengenali tidak hakiki seperti ‘mengenali Tuhan di kalangan ajaran sesat’ atau mengenali seseorang tanpa memahami psikologi manusia.) akan sesuatu pula boleh melahirkan cinta dan benci yang salah dan tersasar. Maksud cinta dan kasih sayang di sudut bahasa dan istilah akan dibicarakan kemudian nanti.
- Sabar atau bernafas panjang atau sanggup tahan senafas :
Sabar merupakan sifat utama yang dianjurkan Allah. Ia memberi maksud sanggup bertahan mengikut keperluan dan situasi. Sewaktu perang, orang yang ‘bersabar’ dikatakan berani. Semasa mampu membalas kejahatan orang tetapi ditahan gelora dendam disebut penyantun. Ketika hati ghairah ingin memiliki keindahan dunia dan tarikannya dan dia mampu memiliki, lalu dia ‘mengongkong’ diri daripada perhiasan dunia itu dan tidak terikat dengannya, maka ketika itu dikatakan zuhud. Sewaktu malas dan kelesuan, tetapi digagahi jua menunaikan kefardhuan dan nawafil (sunat) dikatakan mujahadatunnafsi (melawan nafsu keji). Dan seterusnya….. semua itu adalah SABAR!
- Benar atau menepati realiti :
Bersifat benar dengan maksud benar dengan Allah dalam memenuhi janji ‘inna solaati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillah…’ , benar dengan diri dalam memenuhi kehendak ‘sunnatullah’ ( Sunnatullah ialah ketentuan-ketentuan Allah yang azali, sedia ada semasa kelahiran manusia dan di saat kewujudan makhluk seperti api bersifat membakar, air bersifat memuaskan, pisau yang tajam bersifat memutuskan. Tetapi pada hakikatnya hanya Allah yang berkuasa membakar, mengenyang dan memuaskan dan memutuskan sesuatu. Semua yang ada pada makhluk itu hanyalah pinjaman yang bisa hilang apabila Allah menghendakinya. Sunnatullah pada makhluk inilah yang perlu kajian berterusan untuk memahami dan manakluki alam raya. Sistem burung terbang yang difahami oleh manusia membolehkan ciptaan besi dan bahan kaku bergerak di udara. Peraturan tingkah laku manusia yang diteliti itulah yang memberi faham kepada kita tentang psikologi manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain. Dan seterusnya tentang segala makhluk di alam ini……..) pada diri sendiri sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan memakmur dan mengendalikan dunia yang dikenali sebagai manusia (‘Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak, bagi keluargamu ada hak dan bagi dirimu sendiri ada hak, maka tunaikanlah setiap yang empunya hak itu akan haknya.’ Maksud dan saripati hadis.)dan benar dengan makhluk (Dengan makhluk lain juga mestilah bersifat benar lantaran semua makhluk ‘hidup’ samada haiwan, tumbuhan, bahan beku, cair dan gas apalagi makhluk ghaib seperti jin dan malaikat, mempunyai tindak balas terhadap kelakuan yang dihasilkan oleh manusia. )lain, terutama sesama manusia.
- Ikhlas atau melakukan kerja kerana matlamat yang satu :
Ikhlas bermakna suci bersih. Ikhlas berbakti kerana Allah bermaksud bekerja hanya mencari keredhaan Allah meskipun manusia tidak menyetujuinya. Namun, semasa membuat penilaian tentang apa yang Allah redha dan apa yang manusia setuju itu memerlukan ILMU tentang wahyu Allah (Qur’an dan sunnah yang soheh) dan ILMU tentang latar hidup mannusia dan aliran pemikirannya. Dan syarat dasar dalam keikhlasan amal (Samada amal hati seperti niat dan cita-cita, amal lidah seperti ceramah dan zikir, dan amal anggota seperti solat dan kerjaya.)ialah dua : pertama, berbuat kerana menuntut keredhaan Allah atau ‘kerana Allah’ dan kedua, bertindak menepati dengan peraturan syari’at Islam atau menurut sunnah.

BERAKHLAK DENGAN SIFAT TUHAN DALAM KEHIDUPAN

Bagaimana meniru sifat Tuhan ? Allah bersifat dengan sifat rahman iaitu pengasih kepada segala makhluk di dunia ini, maka seseorang manusia (apalagi seorang muslim/ muslimah) itu mestilah mengumpulkan sifat kasih sayang itu ke dalam dirinya sebanyak yang terdaya mengikut perintah Allah dalam menyayangi apa yang disayangi Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Bukankah iman dan amal itu berada dalam kitaran cinta dan benci ?( Dalam sunan Abu Daud dari hadits Abu Dzarr r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya) : “Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah.”)Begitu juga sifat-sifat Allah yang lain yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Namun sifat Allah yang tertentu seperti ‘Mematikan’, ‘Maha Suci (Quddus)’, ‘Esa’ dan beberapa sifat lain tidak boleh ditiru oleh manusia lantaran kemutlakan sifat itu hanya untuk Allah.

PENGERTIAN KASIH SAYANG DISEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kasih sayang dan cinta (dalam bahasa Arab disebut Mahabbah) di segi bahasa adalah berasal daripada bening dan bersih, atau luapan hati dan gejolaknya, atau tenang dan teguh, atau gundah dan tiada tetap, atau inti sesuatu, atau usungan bejana/ bekas, atau buah hati. Batasan maknanya juga berbeza pendapat di kalangan ahli bahasa. Ada yang menyatakan sebagai kecenderungan secara terus menerus dengan disertai hati yang meluap-luap. Ada pula yang menyebut sebagai kecenderungan secara total kepada orang yang dicintai, kemudian engkau rela mengorbankan diri, nyawa dan hartamu demi dirinya, kemudian engkau mengikutinya secara sembunyi atau terang-terangan. Istilah yang sinonim dengan kasih sayang dan cinta ini amat banyak sehingga menjangkau 50 istilah. Penjelasan detail hendaklah dirujuk kepada buku penting tentang tajuk ini yang bernama : Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah .

PENGERTIAN KASIH SAYANG YANG DIKEHENDAKI

Kasih-sayang sesama Islam (seaqidah)
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’ (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).
Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Sesungguhnya serigala akan membaham kambing yang kesesatan. Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.” Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.”
Kasih sayang sesama manusia
Kasih sayang sesama manusia meliputi segala-galanya dalam urusan hidup selain melibatkan unsur agama dan aqidah yang menjadi rukun agama yang dianuti oleh manusia tersebut. Justeru itu, kasih sayang ini membuka ruang untuk berintraksi dengan manusia yang tidak seagama secara terbuka dalam semua bidang selain yang melibatkan unsur agama manusia itu. Kemanusiaan ini amat menyeluruh, terutama bagi pihak kerajaan Islam dalam menangani semua pihak yang berada di bawah naungannya sehingga hak beragama penganut agama bukan Islam juga boleh dilayani selagi tidak berunsur menyebar dan menyuburkan agama tersebut. Kasih sayang ini meliputi bantuan keperluan hidup ; makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, dan keperluan asas yang lain, pergaulan (kecuali dalam hal-hal tertentu seperti perkahwinan), harta, tanah dan sebagainya.

BAHAGIAN KASIH SAYANG

Kasih sayang fitrah
Kasih sayang fitrah atau semula jadi atau sunnatullah yang dibekalkan oleh Allah ini seperti kasih sayang yang timbul apabila melihat anak kecil yang diseksa atau sakit. Semakin lemah seseorang manusia di sudut fizikal semakin dalam perasaan kasih sayang yang timbul dalam hati sanubari mereka yang berada sekitarnya. Justeru itu, kasih ibu dan ayah kepada anaknya tidak diperintahkan oleh Allah lantaran tabiat semula jadi yang wujud itu. Berbeza kasih sayang anak kepada dua ibu bapanya mestilah dipupuk dan dibajai, dan ianya diperintahkan oleh Allah, lantaran bimbang sewaktu tua ibu bapa (sewaktu lemah) tidak dipedulikan oleh anak-anak.
Termasuk kasih sayang fitrah ini ialah segala bentuk haiwan yang sentiasa menaungi anak-anaknya dan pasangannya. Bahkan adakalanya kasih sayang haiwan lebih hebat daripada kasih sayang sebahagian manusia yang tidak terdidik.
Kasih sayang Allah kepada hambaNya
a. Kasih sayang Allah kepada makhlukNya
Segala makhluk di alam maya ini berada di bawah kasih sayang Allah mengikut jenis dan klasifikasinya, walaupun makhluk itu (hanya jin dan manusia) kufur kepada Allah, lalu mereka boleh hidup dengan udara, air, tanah dan api yang disediakan oleh Allah. Dalam hal ini, mereka yang berikhtiar dan berusaha lebih akan mendapat habuan rezeki dan kekayaan mengikut kadar kerja yang disumbangkan. Bukankah ganjaran itu mengikut kadar kerja yang diusahakan ?
b. Kasih sayang Allah kepada hambaNya yang beriman
Kasih sayang Allah kepada makhlukNya yang beriman ada kelainannya, terutama di akhirat nanti. Semasa di dunia kasih sayang Allah ini berupa pertambahan taqarrub si hamba yang beriman kepada Allah. Persoalan rezeki dan kesenangan hidup bukan ukuran kasih sayang Allah kepada seorang mukmin.
Kasih sayang hamba kepada Tuhannya
Kasih sayang hamba kepada Tuhannya bergantung di atas kesedaran diri hamba/ manusia terhadap segala bentuk nikmat yang diperolehinya samada nikmat kewujudannya di dunia, atau nikmat panjang umur dan kesihatan dan nikmat kesenangan berupa harta, wang, kekayaan, pangkat dan sebagainya.
Kasih sayang hamba sesama hamba
Kasih sayang hamba sesama hamba berlegar pada 5 ciri berikut :
a. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan
b. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan dan kejiranan (dua hak sahaja). Selain kasih sayang di atas, kejiranan menambah lagi hak manusia dalam mendapat prioriti kasih sayang.
c. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan dan kekeluargaan. Tambahan kepada kasih sayang, kekerabatan akan meningkatkan prioriti dan keutamaan memberi kasih sayang ini. Namun di akhirat, kasih sayang kekerabatan akan terputus apabila berbeza aqidah dan prinsip taqwa. Lihat (Zukhruf : 67) : “pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang Yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”
d. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan, kekerabatan dan keagamaan/ aqidah.Juga apa yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang sering dibacakan kepada kita yang bermaksud : “Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya (seagama) sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.”
e. Kasih sayang sejati. Kasih sayang yang sebenar adalah kasih sayang berdasarkan aqidah. Manakala kasih sayang yang lain menyusul selepas kasih sayang aqidah ini mengikut kadar yang dibolehkan oleh aqidah samada dalam kekerabatan, atau kejiranan atau kemanusiaan.

KEUTAMAAN KASIH SAYANG DAN KELEBIHANNYA

Mendapat rahmat Allah
Mengurangkan kebencian dan permusuhan dalam selimut
Mengurangkan peperangan
Menarik sikap perdamaian antara manusia
Mengelak daripada tindakan ‘hukum balas’ dan dendam akibat kesalahan-kesalahan yang kecil, bahkan kesalahan yang besar seperti memaafkan pembunuhan yang tidak disengajakan.
Mendekatkan hati-hati yang berjauhan
Menyeronokkan aktiviti hidup manusia

BAGAIMANA MENGAPLIKASIKAN KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN ?

Mengenali saudaranya secara mendalam ; nama, alamat, pekerjaan, status sosial, kewangan, kesihatan, psikologi dan sebagainya. “Jika seseorang menjalin tali persaudaraan dengan orang lain, maka hendaklah dia bertanya siapa namanya, nama bapanya dan dari mana dia berasal, kerana itu lebih mengeratkan kasih sayang.” Hadis riwayat Tarmizi.
Menyatakan ‘saya sayangkan kamu’. Dalam sunan Abu Daud disebutkan bahawa seorang lelaki berada di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian ada lelaki yang lewat di sana. Orang yang ada di samping beliau berkata : “Wahai Rasulullah, saya benar-benar mencintai orang itu.” Rasulullah s.a.w. bertanya : “Apakah engkau sudah memberitahukannya?” “Tidak.” Jawabnya. “Beritahukanlah cintamu itu padanya.” Sabda beliau. Maka orang itu menemui orang yang dimaksud, lalu berkata kepadanya : “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” Orang yang dicintainya berkata : “Yang membuatmu mencintaiku juga mencintaimu.”
Menyebarkan salam. Dalam soheh Muslim, disebutkan dari hadits Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud) : “Demi diriku yang ada di tanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai ?Sebarkan salam di antara kalian.
Berhadiahlah, kamu akan berkasih sayang. (Maksud Hadis).
Menutup keaiban saudaranya (Maksud hadis)
Melaksanakan aktiviti pemupukan kasih sayang seperti kebersamaan dalam : bermain, berbasikal, bersampan, melancung, ziarah, kenduri, gotong royong dsb. Ini berasaskan ayat 2 surah al-Maaidah :
bermaksud : “…..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Memberi apa yang diperlukan dalam batas yang dibolehkan oleh syara’ ; Tenaga, Fikiran, Keprihatinan, Kasih sayang, Kewangan, Harta, Pangkat dsb.
Memberi (hibah) secara rambang atau terancang.
Menahan diri daripada segala bentuk ancaman, bahaya dan khianat terhadap orang lain samada dalam bentuk lidah, tangan dan hati nurani.
Mendo’akan kebaikan kepada mereka yang layak mendapatnya dan mendo’akan menolak bencana daripada mereka yang tidak sewajarnya ditimpa bencana mengikut perkiraan kita, bukan pada perkiaraan Allah.

Kesimpulannya, kasih sayang dan cinta yang diperlukan oleh seluruh manusia – disedari olehnya atau tidak – adalah kasih sayang kemanusiaan yang akan bercambah dan bertambah subur apabila amalan hibah, yasin dan kasih sayang yang dianjurkan ini dapat diaplikasikan dalam amalan umat Islam secara khusus dan masyarakat manusia secara umum.


Imam al-Ghazali r.a. menyatakan : “Akhlak merupakan satu ungkapan berkenaan suasana dalam diri yang kukuh mantap, daripadanya keluar segala perbuatan dengan mudah dan selesa tanpa memerlukan berfikir dan memerhati.”

Monday, March 1, 2010

Perbanyakkanlah mengingati Allah


AMALKAN ZIKRULLAH

" Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut "
1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang tidak patut.
4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah- mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah- mudahan selalu, walau sambil lalu mudah- mudahan jadi bisa, karena sudah biasa.